Thursday, January 21, 2010

Potensi Industri Arnab


Apa yang aku perasan akhir-akhir ini, semakin ramai yang sudah mula menceburi penternakan arnab terutamanya arnab pedaging. Ramai pengusaha-pengusaha baru sudah mula menunjukkan diri malahan kini sudah ada Persatuan Penggiat Industri Arnab Malaysia (MyRPA) http://blogmyrpa.blogspot.com/.

Walaubagaimanapun, industri ini bukanlah sebuah industri yang baru. Industri ini pernah juga popular pada tahun awal 90an. Ramai penternak-penternak dahulu mula menceburi bidang ini tetapi rasanya semua (sepengetahuan aku) gagal dan tutup ladang. Apakah punca kegagalan ini? Sedangkan terbukti bahawa daging arnab sangat berkhasiat dan rendah kolestrol. Berikut adalah pandangan aku:


1. Fokus hanya tertumpu pada 'penternakan'. Mengikut pemerhatian aku, kerajaan ada memainkan peranan dalam membantu para penternak. Tetapi kerajaan tidak melihat industri ini secara keseluruhan. Penternakan hanya salah satu daripada rantaian penawaran (supply chain). Untuk memajukan industri ini, kerajaan harus membantu para usahawan dari penternak sehingga peruncit. Jika fokus hanya ditumpukan pada penternakan, akan berlaku penawaran melebihi permintaan. Ini lah yang menyebabkan para pengusaha dahulu gagal menjual produk-produk arnab mereka. Jika mahukan industri ini maju dan berkembang, tumpuan harus diberikan pada setiap pihak dalam rantaian penawaran.

2. Kegagalan pemain industri membantu antara satu sama lain. Kerjasama setiap pihak dari penternak sampai peruncit adalah penting bagi menaikkan industri ini terutamanya dalam peringkat awal. Kejayaan setiap pihak dalam rantaian penawaran bergantung pada kejayaan pihak yang lain. Dalam peringkat awal, matlamat setiap usahawan haruslah bertumpu kepada matlamat jangkamasa panjang iaitu menaikkan industri arnab dan bukan keuntungan. Ini termasuk lah juga menawarkan harga yang rendah kepada para pelanggan. Ini sebagai satu tarikan dan strategi untuk para pengguna menukar tabiat membeli. Malangnya ramai penternak masa kini masih belum memahami perkara ini. Mengikut pemerhatian aku, masih ramai penternak yang menjual daging arnab antara RM30 ke RM35/kilo. Aku sebagai pengguna rasa seperti tidak ada sebab mengapa aku patut mula makan daging arnab jika harganya setinggi ini.

Jika ada yang bertanya 'Adakah industri arnab mempunyai potensi?', aku akan jawab 'sudah pasti'. Ini kerana arnab boleh membiak dengan sangat cepat dan dagingnya amat berkhasiat. Tetapi kerajaan harus membantu setiap pihak dalam rantaian penawaran dan yang lebih penting pemain industri harus tidak mementingkan diri dan melihat kejayaan industri secara keseluruhan.

Ini hanya pandangan.

1 comment:

  1. hello....saudara amat perihatin tentang industri arnab.....boleh kita berkongsi pendapat....hubungi saya di email myxtru@yahoo.com

    ReplyDelete